KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang membantah penahanan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan.
“Sekiranya benar Lokman ditahan polis di bawah Akta Hasutan, saya bantah penahanan beliau bawah Akta drakonian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.
Syahredzan Johan berkata, Lokman memang banyak melanggar undang-undang dengan fitnah dan tomahan yang dilemparkan tetapi pihak berkuasa tidak wajar guna Akta Hasutan.
“Ada banyak akta lain yang boleh digunakan untuk ambil tindakan terhadap Lokman,” ujarnya.
Sebelum itu, Lokman ditahan ketika hadir membantu siasatan di Ibupejabat Polis Bukit Aman petang semalam berhubung dakwaannya berkaitan isu Yang Dipertuan Agong (YDPA).
Syahredzan yang juga seorang peguam itu membantah penahanan tiga individu yang didakwa menghina bekas YDPA di bawah akta yang sama.- MalaysiaGazette