KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membenarkan Great Eastern mendapat pengecualian daripada syarat-syarat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menghadkan pemilikan asing sebagai satu langkah yang dangkal.
Malah, tindakan itu dikhuatiri akan menggadaikan masa depan industri dan pasaran insuran syarikat-syarikat takaful dan insurans negara.
Ini kerana, syarikat-syarikat insurans asing akan menguasai pasaran tempatan kerana saiz firma-firmanya yang besar.
Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah tentu ia memberi kesan kepada daya saing syarikat-syarikat takaful dan insurans tempatan yang jauh lebih kecil.
“Tetapi langkah ini sudah tentu menggadaikan masa depan industri dan pasaran insuran syarikat-syarikat Takaful dan insurans negara dan kita akan terus didominasi oleh syarikat-syarikat asing yang besar.
“Ini merupakan sebab utama syarikat insurans dan takaful tempatan tidak dapat meneroka pasaran serantau seperti syarikat-syarikat dari Singapura dan negara lain kerana pasaran negara sendiri pun kita tidak berpeluang untuk kuasai ekoran polisi kerajaan PH ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ahli Parlimen Pekan itu mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengesahkan Great Eastern telah dikecualikan daripada arahan pemilikan asing Bank Negara selepas ia mengikrarkan sumbangan minimum RM2 bilion untuk satu skim kesihatan bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus rendah (B40).
Guan Eng mendedahkan perkara itu ketika ditanya sumber dana untuk tabung perlindungan kesihatan nasional itu.
Sebelum ini, Najib mendakwa ada kemungkinan besar RM2 bilion untuk skim insurans B40 datang daripada Great Eastern kerana firma itu masih memiliki 100 peratus kepentingan dalam operasinya di Malaysia.
Keputusan kerajaan itu bertentangan dengan dasar di bawah Barisan Nasional, yang mana pada tahun 2017, BNM telah memberi amaran terakhir kepada syarikat-syarikat asing untuk melepaskan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan saham di dalam operasi tempatan mereka kepada syarikat tempatan.
Berbanding pada tahun 2016, syarikat-syarikat insuran asing menguasai 81.7 peratus daripada industri insurans nyawa Malaysia.
Najib menegaskan langkah ini diambil untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat Malaysia dan mengurangkan dominasi syarikat asing di dalam industri tempatan yang merupakan satu risiko.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pelepasan yang diberi kepada Great Eastern itu untuk selama-lamanya ataupun untuk tempoh tertentu kerana perkara tersebut tidak didedahkan oleh Guan Eng.
“Syarikat mana yang mengendallikan Skim Perlindungan Nasional B40 ini pun kita tidak tahu. Ia masih lagi menjadi satu rahsia besar kepada kerajaan Pakatan Harapan.
“Tidak mustahil ia adalah syarikat insurans asing juga. Langkah ini sudah tentu menggadaikan masa depan industri dan pasaran insuran syarikat-syarikat Takaful dan insurans negara dan kita akan terus didominasi oleh syarikat-syarikat asing yang besar.
“Akhirnya nanti, apabila banyak syarikat Takaful dan insurans tempatan gulung tikar, mereka akan dituduh malas berusaha.
Simpanan nyawa rakyat Malaysia akan tetap di dalam tangan asing,” ujarnya. – MalaysiaGazette