PUTRAJAYA – Rombakan besar-besaran dalam pentadbiran awam membabitkan jawatan ketua setiausaha di jabatan dan kementerian tidak dilakukan hanya kerana tiada persefahaman dengan seseorang menteri.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rombakan itu tidak melibatkan perubahan besar dalam pentadbiran awam sebaliknya ia lakukan berdasarkan prestasi semasa penjawat awam.
“Tak ada perubahan, kita menentukan bahawa seseorang KSU itu berhak untuk dipindah dari satu jabatan kepada jabatan yang lain
“Ini ada kaitan dengan prestasinya dan harapannya di masa depan sama ada boleh dinaikkan pangkat ataupun tidak.
“Kadang-kala dia (KSU) ingat mungkin tidak sesuai dengan menteri. Kalau terdapat keadaan di mana menteri dan pegawainya tidak boleh kerjasama langsung, maka kita perlu ambil kira perkara ini.
“Tapi pada kebiasaannya kita tak tanya menteri siapa yang dia suka walaupun kita perlu tahu apa kualiti orang yang dikehendaki oleh seorang menteri. Kita perlu siasat ini dulu sebelum kita lantik,” katanya pada sidang media di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, rombakan besar membabitkan pertukaran KSU kementerian dan Ketua Pengarah (KP) jabatan kerajaan yang berkuat kuasa Sabtu mampu memperkukuhkan pentadbiran selain pengurusan tertinggi peringkat kementerian serta agensi yang terbabit.
Katanya, pengisian jawatan berkenaan dilakukan berikutan kekosongan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang serta mengambil kira keperluan untuk dibuat pusingan penempatan dalam kalangan KSU kementerian sedia ada.
Beliau turut memaklumkan akan berlaku rombakan dan pertukaran yang seterusnya dalam perkhidmatan awam susulan berlaku kekosongan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang. – MalaysiaGazette