Home Nasional Tambah baik Akta SPRM cekup individu guna nama orang ketiga

Tambah baik Akta SPRM cekup individu guna nama orang ketiga

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memasukkan peruntukan baharu mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar sesuatu kepentingan dalam sesuatu proses siasatan yang dijalankan.

“Kita dapati setiap kali ada orang guna nama orang lain tapi yang memiliki (hasil rasuah) ialah orang lain.

“Kita buat undang-undang supaya kita dapat cekup dan kenal pasti individu sebenar terlibat jenayah rasuah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) ke-6 di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kanan), Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kasim Mohamed (dua kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JANUARI 2019

Dr Mahathir juga berkata, kerajaan akan menambahbaik tadbir urus syarikat milik kerajaan dan badan berkanun Persekutuan dan cadangan itu telah dibentang dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November lepas.

“Pindaan dibuat ke atas prosedur berkaitan Tapisan Keutuhan SPRM di mana calon-calon perlu melepasi tapisan keutuhan sebelum dilantik dan bukannya selepas dibuat pelantikan.

“Pindaan juga akan dibuat dalam buku Garis Panduan Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Lantikan Menteri Kewangan (Diperbadankan),” katanya.

Sementara itu, bagi meningkatkan ketelusan dan integriti belanjawan dan proses belanjawan, kerajaan juga akan melaksanakan penyata pra-belanjawan dan Kajian Separuh Tahun bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Ia bagi memastikan ketelusan maklumat berkaitan hutang dan liabiliti negara; serta meminimumkan off-budget dalam perbelanjaan kerajaan mulai 2019.

“Sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini mekanisme off-budget ini telah menyumbang kepada skandal kewangan seperti 1MDB dan Special Purpose Vehicle (SPV). Justeru Kerajaan kini akan berusaha untuk meminimakan off-budget,” katanya lagi. – MalaysiaGazette