PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari setelah gagal hadir pada hari keempat perbicaraan kes urin yang dihadapinya hari ini.
Waran itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membuat permohonan tersebut susulan kegagalan Farid Kamil, 38, dan penjaminnya hadir, selain tiada sebarang laporan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada mahkamah.
Nor Ariffin berkata waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh hari ini.
Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 14 Jan nanti, namun mahkamah tetap mengeluarkan perintah waran tangkap itu.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kemudiannya, Megat Syazlee memaklumkan anak guamnya kini berada di Johor Bahru.
“Saya sudah maklumkan kepada Farid malam semalam namun beliau maklumkan tidak sempat datang kerana sedang menjalani penggambaran.
“Dalam prosiding tadi juga, saya sudah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketidakhadirannya adalah bukannya sesuatu yang disengajakan, sebaliknya beliau keliru kerana terdapat banyak tarikh ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-BERNAMA