Home Dunia Kemboja nafi beri pasport kepada Yingluck

Kemboja nafi beri pasport kepada Yingluck

BANGKOK- Kemboja menafikan telah mengeluarkan pasport kepada bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra walaupun data dalam fail korporat rasmi jelas menunjukkan beliau pemegang pasport negara berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengenalan, Menteri Dalam Negerinya, Jeneral Mao Chandara membuat dakwaan tersebut kepada The Phnom Penh Post semalam, sehari selepas South China Morning Post mendedahkan data korporat sebuah syarikat di Hong Kong yang mana menunjukkan Yingluck selaku pemegang pasport Kemboja adalah ahli lembaga pengarah tunggal syarikat yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu.

The Post turut mengeluarkan semula satu salinan dokumen tersebut.

Bagaimanapun, Chandara berkata: “Kami tidak tahu sama ada pasport tersebut adalah asli atau palsu tetapi kami tidak pernah mengeluarkan pasport kepada warga asing.”

Pasport hanya boleh dikeluarkan kepada warga asing yang telah dinaturalisasi (tiada kewarganegaraan) melalui keizinan Raja Norodom Sihamoni, tambah Chandara.

“Di dalam dunia ini siapa yang tidak kenal Yingluck iaitu seorang rakyat Thailand dan pernah menjadi perdana menteri negara itu?

“Bagaimana beliau boleh menggunakan pasport Kemboja untuk mendaftarkan syarikat sebagai seorang warganegara? Kami tidak tahu apa yang berlaku,” katanya lagi.

Walaupun Chandara berkata, Kemboja tidak pernah mengeluarkan pasport kepada negara asing, Khmer Times melaporkan sejumlah 1,518 warga asing telah diberikan kewarganegaraan Kemboja bermula tahun 2014 sehingga tahun 2017.

Khmer Times memetik Chandara berkata ketika itu “warga asing akan diberikan kerakyatan Kemboja sekiranya membuat pelaburan di dalam negara tersebut sementara ada juga yang memiliki kerakyatan selepas berkahwin dengan rakyat Kemboja.

Tambahnya, undang-undang negara menetapkan warga asing yang melabur sebanyak 1,250 juta riel (AS$300,000) dan memiliki alamat rumah di Kemboja layak untuk mendapatkan kerakyatan.

Pada tahun 2005, pelakon ternama Hollywood, Angelina Jolie mendapat pasport Kembija selepas tiga tahun mengambil seorang anak angkat warga Kemboja.-MalaysiaGazette