Home Nasional Kerajaan tangguh sementara eNTRI

Kerajaan tangguh sementara eNTRI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menangguhkan sementara pelaksanaan Electronic Travel Registration And Information (eNTRI) bagi membolehkan proses penambahbaikan.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain itu, proses aspek keselamatan juga akan dilaksanakan.

“Sistem eNTRI yang sedang dalam proses penambahbaikan ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 15 Januari ini,” ujar kenyataan yang sama.

Penambahbaikan itu dilakukan ekoran daripada laporan media mengenai kelemahan pada sistem yang sama sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah memutuskan melanjutkan kemudahan tanpa visa ini melalui Pewartaan Kerajaan Persekutuan (Perintah Pasport) selama setahun sehingga 31 Disember 2019.

Sebelum itu, eNTRI merupakan kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India untuk memasuki negara ini atas tujuan melancong dan sosial bagi tempoh 15 hari.

Ia mula diperkenalkan kepada warga China pada 1 Mac 2016 dan India pada 1 April 2017 dengan pelanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan.

Kementerian juga akan memastikan pelaksanaan permohonan visa atas talian (eVISA) dan eNTRI itu berjalan lancar serta tidak menjejaskan kemasukan pelancong dari China dan India ke negara ini dan dalam masa yang sama tidak berkompromi dengan aspek keselamatan negara.- MalaysiaGazette