KUALA LUMPUR – Beberapa jalan menuju ke kuil Batu Caves akan ditutup kepada lalu lintas sempena Thaipusam pada 21 Januari ini.
Jalan-jalan yang akan ditutup sepenuhnya dari 5 petang pada 17 Januari hingga 24 Januari ialah laluan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves (Masjid Al-Amaniah), jalan keluar Batu Caves dari MRR2, Jalan Perusahaan ke Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves dan laluan keluar MRR2 Seri Gombak ke Jalan Perusahaan.
Pada 18 Januari hingga 24 Januari, tiga persimpangan di sepanjang Jalan SBC8 dan alan Batu Caves Lama akan ditutup kepada lalu lintas dari 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Samsor Mansor berkata, kira-kira 1,500 orang anggota polis akan bertugas mulai 18 Januari.
Seramai 240 anggota polis trafik pula akan ditempatkan di 31 lokasi bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberi kerjasama sepanjang penutupan jalan itu.
Katanya, pengguna yang melanggar dan menganggu lalu lintas akan dikenakan saman.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kuil, Tan Sri R. Nadarajah menganggarkan 1.6 juta penganut Hindu akan berada di kuil itu pada tahun ini berbanding 1.5 juta pada tahun-tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette