RANONG (Thailand) – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan penamatan dan penukaran lebih 25 orang imam di Perlis adalah di luar bidang kuasanya.
Katanya, keputusan penamatan khidmat dan pertukaran imam-imam tersebut di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan bukan bidang kuasa Jabatan Mufti.
“Sebenarnya penamatan kontrak imam atau imam yang ditukar ini berlaku di semua negeri, bukan di Perlis sahaja,” kata Mohd Asri kepada Bernama bagi mengulas tindakan beberapa masjid di Perlis yang membuat bantahan aman mendesak supaya khidmat imam-imam tersebut disambung semula.
Mohd Asri berada di sini menyertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Ziarah Mahabbah MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) ke Wilayah Ranong dan Chumphon.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil juga berkenan menyertainya. Program itu turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Sebelum ini tular mengenai tindakan JAIPs menamatkan 25 imam dan 10 lagi ditukarkan ke kariah lain dengan surat bertarikh 31 Disember lepas tanpa menyatakan sebab. – BERNAMA