Home Nasional SPRM buka bilik gerakan PRK Cameron Highlands mulai esok

SPRM buka bilik gerakan PRK Cameron Highlands mulai esok

SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua bilik gerakan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands mulai esok.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, lokasi bilik gerakan tersebut adalah di Ipoh dan di Cameron Highlands yang akan dibuka 24 jam sehingga tamat pilihan raya tersebut.

Katanya, bilik gerakan itu dibuka bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan rasuah di bawah akta SPRM 2009 dan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

“Selain membuka bilik gerakan, SPRM akan menempatkan pegawai-pegawai bergerak di sekitar kawasan PRK bagi memantau apa sahaja aktiviti di sana termasuk ceramah.

“Saya mohon masyarakat di Cameron Highlands atau mereka yang terlibat dapat menyalurkan maklumat kepada SPRM,” katanya pada sidang media di Pejabat SPRM Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul berkata, pihaknya turut berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum pengumuman bilik gerakan PKR Cameron Highlands dibuka, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kesalahan pilihan raya antaranya memberi jamuan dan sumbangan.

“Namun perkara-perkara ini kita akan tengok sama ada ia ada melibatkan rasuah atau kesalahan, tak semestinya beri makan itu satu kesalahan, jadi kita tengok sama ada ia kes atau tidak, terpulang pada pandangan Timbalan Pendakwa Raya.

“Kalau calon pergi kempen bawa sumbangan pun kita akan siasat…kesemua maklumat kita serahkan kepada ibu pejabat,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh datang ke bilik gerakan atau menghubungi pihak SPRM di talian 05-5267000 dan 019-6002041 atau [email protected]. – Bernama