Home Nasional Remaja dikhuatiri lemas ditemukan di Pantai Kemayang

Remaja dikhuatiri lemas ditemukan di Pantai Kemayang

BACHOK – Mayat seorang remaja, Muhammad Fakri Amin Mohamad Asri, 13, yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir dari batu tempat dia berpijak di Pantai Kemayang petang semalam, ditemukan pasukan penyelamat tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, mayat remaja tersebut ditemui terapung-apung kira-kira 30 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pukul 7 petang semalam bersambung semula sejam kemudian sehingga mayat mangsa dijumpai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yus Heary berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang berasal dari Lundang, Kota Bharu untuk dikebumikan.

Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut termasuklah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang semalam, mangsa dikatakan terjatuh selepas tergelincir dari batu tempat dia berpijak manakala kakaknya Noor Attiah, 20, dan seorang rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal berikutan arus deras dan ombak besar. – Bernama