Home Nasional Bukan semua tiru BN, kata Saifudin

Bukan semua tiru BN, kata Saifudin

Saifudin Nasution Ismail
Saifudin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Penetapan harga minyak runcit adalah isu yang dibincangkan secara terbuka oleh rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Beliau berkata, rakyat tahu pergerakan harga minyak dunia dan berapa sen seliter sepatutnya turun.

“Jadi, kerajaan juga harus telus dan terbuka dalam memberikan maklumat,” katanya dalam hantar Twitter beliau semalam.

Keghairahan kerajaan PH memaparkan senarai harga minyak negara lain sehingga tertinggal negara Brunei.
Keghairahan kerajaan PH memaparkan senarai harga minyak negara lain sehingga tertinggal negara Brunei.

Beliau mengulas komen bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga dalam Twitternya menyatakan, masa kerajaan Barisan Nasional (BN) buat perbandingan harga petrol di negara Asean, ramai kecam sebab kata tidak relevan buat perbandingan dengan tempat lain.

Sekarang, katanya sudah terkena pada kerajaan Pakatan Harapan (PH), maka terpaksa paparkan harga minyak di semua negara di stesen minyak.

Menurut Saifuddin, pemerkasaan hak pengguna bermula apabila mereka mempunyai informasi yang penuh untuk satu produk apatah lagi harga runcit petrol yang sensitif.

Oleh sebab itu, ujar beliau, kerajaan PH memaparkan harga negara lain agar pengguna tahu dan maklum.

“Disebabkan topik harga minyak itu dibincang secara telus dan terbuka, saya telah arahkan maklumat harga Brunei yang tertinggal dalam paparan dimasukkan.

“Tiada sembunyi maklumat kerana pengguna adalah berhak kepada setiap maklumat,” katanya.

Beliau turut menyatakan, tidak masuk akal untuk sorokkan maklumat harga Brunei kerana maklumat itu di luar sana dan rakyat boleh semak.

“Saya komited untuk sentiasa terbuka komunikasi maklumat terutamanya isu harga minyak ini.

“Kalau harga negara lain turun, tetapi Malaysia tidak turun, sudah tentu pengguna boleh persoal dan tanya kerajaan kenapa tidak turun. Itu hanya boleh berlaku kalau kerajaan telus dan terbuka dalam memaparkan harga runcit petrol negara jiran.

“Sekali lagi terima kasih kepada KJ kerana bangkitkan isu itu. Maklumat Brunei yang tertinggal itu akan dimasukkan dan saya telah minta pegawai KPDNHEP agar lebih peka selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette