KUALA LUMPUR – Dua buah klip video menunjukkan dua orang budak mendendangkan beberapa lagu popular era 90-an mencuit hati pengguna laman sosial.
Rakaman yang dimuat naik menerusi Twitter Mangekyo itu dipercayai diambil di Pulau Dayang Bunting, Langkawi.
Berdasarkan visual pada rakaman itu, kedua-dua budak tersebut bermain rakit dan kelihatan menari-nari apabila menyedari gelagatnya itu dirakam.
Mereka kemudiannya beraksi dengan menyanyikan lagu dari kumpulan Exist yang bertajuk Pohon Cemara dan sebuah lagi lagu dipetik dari Album Iklim nyanyian Allahyarham Saleem, Suci Dalam Debu.
Pemilik laman sosial itu turut memuat naik rakaman tersebut dengan menulis status talented boy (budak yang berbakat).
Rata-rata netizen yang menonton klip video berkenaan memuji kedua-dua budak lelaki itu dengan ada yang berkata suara mereka sangat merdu didengar.
Klip yang dimuat naik sejak semalam mendapat lebih 6,000 likes manakala lebih 9,000 ciapan memuji kedua-dua budak tersebut.
Sementara itu, ada netizen juga berkongsi video rakamannya yang memaparkan kedua-dua budak berkenaan menyanyi dan memuji suara kemerduan suara mereka.
Malah ada yang mendakwa kelibat mereka sering kelihatan di kawasan itu dan berseloroh mereka seakan-akan ‘penjaga’ Pulau Dayang Bunting dan tidak lokek jika diminta menyanyi oleh pengunjung yang datang.- MalaysiaGazette
https://twitter.com/luqmxnzubir/status/1084096873537781760