CAMERON HIGHLANDS – Jika sebelum ini, badan pemantau Pilihan Raya, Bersih 2.0 bukan sahaja lantang sebaliknya bertahun-tahun memperjuangkan sebuah pilihan raya adil serta bersih, kini sejak bertukar kerajaan mungkin ianya sekadar tinggal nama sahaja.
Malah ada cadangan supaya badan ini tukar sahaja nama daripada Bersih kepada ‘Kotor’ kerana perjuangan yang berpaksikan keadilan serta ketelusan dalam sesebuah pilihan raya kini sudah bertukar nada.
Nampaknya dengan kerajaan baharu dan Malaysia baharu, apa yang tidak boleh dan haram, kini halal dan boleh sahaja serta remeh walaupun isunya serius.
Contohnya, apa yang berlaku di P078 Parlimen Cameron Highlands yang kini sedang berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandangnya Datuk Sivarraajh Chandran atas dakwaan rasuah.
Sivarrajh didapati melakukan kesalahan rasuah yang belum terbukti sehingga saat ini kerana memberikan kenduri makan-makan kepada masyarakat Orang Asli ketika Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Manogaran yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bertindak memfailkan petisyen yang mendakwa Sivarraajh melakukan rasuah dengan cubaan membeli undi bagi kemenangan tersebut.
Ironinya, semalam perkara yang sama berlaku lagi dan mengejutkan kerana Manogaran yang sebelum ini begitu lantang dalam memastikan Sivarraajh dihukum kerana kesalahan rasuah ‘belum pasti’ itu tetapi turut melakukan perkara sama.
Semalam kecoh apabila beberapa keping gambar seorang sukarelawan wanita DAP sedang mengedarkan wang nota RM50, RM10 dan RM5 kepada warga Orang Asli dalam sebuah majlis tertutup di Cameron Highlands selepas penamaan calon.
Yang hadir sama dalam majlis itu termasuk Pengerusi DAP Selangor merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang juga Timbalan Pengerusi PAC.
Menurut Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, beliau sebenarnya terkejut dan ‘jijik’ dengan sikap berdiam diri serta menjadi ‘pak angguk’ badan pemantau itu, selain Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga cuba membela perkara tersebut.
“Bukankah kesalahan itu hampir sama dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh Sivarraajh? Peliknya, sehingga kini mahkamah sendiri tidak dapat tentukan siapakah sebenarnya induvidu dalam Barisan Nasional (BN) yang memberikan rasuah itu.
“Sebaliknya Sivarrajh telah di hukum bukan sahaja hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen tetapi juga hak sebagai pengundi. Adil ke? Mengapa Bersih tidak bersuara?
“Bagaimana pula calon Manogaran memberikan wang tersebut secara terbuka dan kemudian mengatakan ianya untuk bayaran petrol kepada sukarelawan? Mengapa ketika musim pilihan raya? Nama pun sukarelawan, mengapa dibayar pula? Siapa yang anda cuba kaburi ini?
“Kit Siang yang selama lantang bercakap isu ketelusan dan integriti serta menentang rasuah bermati-matian, dalam hal ini pula cuba membela? Apakah beliau tidak tahu kesalahan yang dilakukan di bawah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 5A? Masih mahu bela?
“Saya terkejut juga melihat bagaimana Kit Siang boleh menghalalkan bayaran petrol untuk sukarelawan hadir ketika proses penamaan calon mereka manakala Bersih pula bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Kit Siang.
“Adakah Malaysia Baharu ini bermakna apa sahaja yang dilakukan oleh PH dan kepimpinannya boleh dihalalkan begitu sahaja? Dulu bukan hebat dalam bercakap isu integriti, undang-undang dan tentang rasuah, ini apa,” katanya.
Usha mengulas kenyataan Kit Siang mengesahkan DAP membayar sebanyak RM20 seorang kepada 60 penunggang motosikal dalam kalangan Orang Asli.
Kit Siang mempertahankan kejadian itu bukan beli undi seperti yang didakwa oleh pemimpin-pemimpin BN tetapi ia adalah pembayaran balik kos petrol sukarelawan PH.
Bahkan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mencabar BN untuk mendedahkan perbelanjaan yang digunakan untuk para penyokongnya dan kos-kos lain semasa PRK yang lain pula.
Manakala Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, tidak menjadi kesalahan pilihan raya bagi sesebuah parti politik membayar balik kos petrol sukarelawan yang terlibat kempen parti mereka.
Jelas Usha yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negara, perjuangan Bersih kini sudah tiada ‘moral’ kerana sanggup menutup mata dan telinga berhubung isu malah ianya dipandang remeh sekali.
“Bersih, tutup sahaja ‘kedai’ seperti yang selalu Kit Siang selalu cakap bagi mendesak parti-parti politik BN bubar sahaja. Bersih sudah tiada ‘moral ground’ lagi. Cukuplah, jangan retorik sangat.
“Jika tidak mampu jadi neutral sebaliknya ‘jurucakap’ pihak tertentu, jangan bertopengkan integriti, bersih dan ketelusan untuk kaburi mata rakyat. Semua nampak apa yang sedang berlaku.
“Wang rakyat dibazirkan begitu sahaja untuk adakan kembali satu PRK hanya kerana impian segelintir pihak untuk menawan pula negeri Pahang. Sebelum ini, ada wakil rakyat PH sanggup letak jawatan dan beri laluan kepada pemimpin lain untuk bertanding. Bazir lagi wang, tetapi tiada siapa mahu buka mulut, menentang atau turun jalanan seperti sebelum ini.
“Jadi lebih tutup sahaja, diam dan jangan ajar sesiapa tentang moral atau perjuang prinsip yang belum tentu anda ikuti. Kami jijik, mungkin sudah tiba masa untuk kita buat satu lagi demonstrasi ‘Bersih 6.0’ tentang golongan ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Bayar RM20 kepada 60 Orang Asli bukan beli undi, kata Kit Siang