SERDANG – Dr Maszlee Malik mendedahkan impiannya sejak 30 tahun lalu untuk menjadi Menteri Pendidikan sudah disemat didalam hatinya sejak berusia 15 tahun.
Menceritakan kejayaannya itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, cita-cita menggalas portfolio kanan dalam kerajaan itu disemai sejak di bangku sekolah dan ia adalah pembakar semangatnya dalam pelajaran.
Dalam nada sebak Maszlee menjelaskan, jawatan itu didambakan kerana ingin merealisasikan harapan untuk membina Malaysia yang lebih baik di masa hadapan dan pendekatan itu diilusikan oleh gurunya, Ustaz Sakijan Muri .
“Guru yang meledakkan harapan dan cita-cita ketika berusia 15 tahun hanya seorang pendidik biasa di sebuah sekolah, namun fenomena sebenar ialah beliau tidak pernah lulus peperiksaan.
“Beliau hanya mula bersekolah semula pada umur 18 tahun dengan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) serta berjaya menjadi seorang guru.
“Ustaz Sakijan Muri sering bawa pendekatan berbeza dalam melihat perkara seharian, hatta dalam menggalakkan murid untuk selalu bertanya termasuk membabitkan perihal agama.
“Ustaz adalah insan pertama yang mengajarkan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) kepada saya, jauh sebelum istilah ini diwujudkan,” katanya ketika menyampaikan amanat pendidikan, di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Maszlee yang meneruskan ucapannya dengan linangan air mata mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada Sakijan selepas pendidik berkenaan menyuntik ‘benih’ kesedaran sejak di usia muda.
Sementara itu, Sakijan ketika ditemui selepas majlis itu berkata, Maszlee sememangnya seorang murid yang nakal tetapi mempunyai pemikiran berfikir yang luar biasa.
Katanya, beliau berbangga kerana berjaya mendidik Maszlee sebagaimana diharapakan oleh semua guru-guru yang mahu melihat anak didik mereka berjaya.
“Bila saya tahu dia menjadi menteri pendidikan, saya sangat gembira dan berharap agar sistem pendidikan di negara ini dapat berubah,” ujarnya. – MalaysiaGazette