PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji enam akta untuk diperhalusi sebelum dicadang untuk pindaan atau pemansuhan sebelum dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keenam-enam akta tersebut adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.
Selain itu jelasnya, akta lain adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Prinsip asas dalam kajian undang-undang adalah kerana kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan keselamatan yang dapat mengimbangi keperluan untuk menjaga keselamatan negara dengan berkesan dan pada masa sama memelihara hak kebebasan asasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Pada masa sama, KDN juga sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 KDN di kementeriannya hari ini.
Berhubung SOSMA, Muhyiddin berkata status akta itu masih lagi dibincangkan secara menyeluruh dengan semua pihak termasuk Majlis Peguam.
Sementara itu, menepati janji manifesto, Muhyiddin memberitahu KDN telah memberi taraf warganegara kepada 1,641 individu berketurunan India berumur 60 tahun ke atas yang telah memenuhi syarat-syarat kewarganegaraan.
Muhyiddin turut menggariskan fokus utama KDN bagi tahun ini antaranya merombak semula sistem pengoperasian imigresen dengan melaksanakan konsep end-to-end operation bagi mengelakkan gejala rasuah, menggunakan teknologi berasaskan kecerdasan buatan dalam penguatkuasaan dan pembanterasan jenayah.
Fokus lain termasuk memperhebatkan strategi pencegahan dan kawalan radikalisme dan ekstremisme dalam memerangi keganasan, membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan, meningkatkan penggunaan media sosial dalam menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan dan menangani penyebaran berita palsu, katanya.
“Jabatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang perlu dilihat sebagai jabatan berorientasikan perkhidmatan mesra rakyat dan bukan semata-mata melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya.
Pada majlis hari ini juga, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 13 penerima bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu (12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960), Era Insurgensi Komunis (17 Jun 1968 hingga 2 Dis 1989) dan Perkhidmatan Semasa Darurat di Sabah dan Sarawak (1962 hingga 17 Okt 1990).
Mendahului senarai penerima merupakan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, enam bekas ketua polis negara, empat bekas timbalan ketua polis negara.
Menurutnya, web portal fasa pertama yang dijangka siap pada Mac ini akan memanfaatkan hampir 14,000 pesara PDRM bagi mendapatkan informasi terkini, mengemas kini maklumat peribadi dan membuat serta menyemak permohonan Tabung Amanah Warisan Polis, Kad Pesara Polis dan Pingat Jasa Pahlawan secara dalam talian. – MalaysiaGazette