KUALA LUMPUR- Rangka kerja berkaitan syarat-syarat penawaran syiling permulaan (ICO), perdagangan dan pemasaran aset digital di Malaysia dijangka dilancarkan sebelum hujung suku pertama 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengawal selia penawaran instrumen dan aktiviti berkenaan aset digital di negara ini dan juga akan menetapkan syarat berhubung penawaran ICO, perdagangan dan pemasaran aset digital.
“Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 mula berkuatkuasa esok dan berada di bawah kawal selia SC.
“Penawaran instrumen-instrumen dan aktiviti berkenaan aset digital memerlukan kebenaran SC selain wajib mematuhi undang-undang sekuriti dan peraturan berkenaan.
“Kementerian Kewangan Malaysia berpandangan bahawa aset digital, berserta teknologi blockchain yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baru.
“Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi suatu kaedah alternatif untuk mendapatkan dana oleh para usahawan dan perniagaanperniagaan yang baharu, serta sebagai kelas aset alternatif untuk para pelabur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Guan Eng, mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum jika sabit kesalahan iaitu penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta.-MalaysiaGazette