Home Nasional Saya terkejut, tak sangka – KP Imigresen baharu

Saya terkejut, tak sangka – KP Imigresen baharu

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud bercakap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri Tahun 2019 di Dewan Auditorium, Kompleks D, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Khairul Dzaimee Daud terkejut dan tidak menyangka dilantik menerajui agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

Beliau menyifatkan pelantikan itu mencabar kemampuannya untuk mencapai visi dan misi yang digariskan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam kerana di kementerian sebelum ini Bahagian Dasar dan Kawalan berkait rapat dengan Jabatan Imigresen.

“Saya terkejut dan berasa syukur serta tercabar bagi melaksanakan tugas ini dengan terbaik mengikut kemampuan dan memberi komitmen 100 peratus.

“Mungkin bekerja lapan hingga sembilan jam tidak cukup dan perlu bekerja melebihi waktu pejabat biasa agar visi dan misi yang digariskan menteri tercapai untuk menjadi jabatan yang bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 KDN di sini hari ini yang turut dihadiri Muhyiddin.

Ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa beliau merupakan proksi Muhyiddin, Khairul enggan menjawab soalan berkaitan isu politik.

“Fokus saya kepada visi dan misi jabatan sejajar hala tuju yang ditetapkan menteri.

“Saya tidak mahu jawab isu berkaitan politik,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Adam mendakwa pelantikan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu ada unsur campur tangan politik selain wujud amalan kronisme.

Sambil menyifatkan sebagai suatu yang tidak sepatutnya berlaku, beliau mempersoalkan di mana peranan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada 4 Januari lalu, KDN bersetuju dengan pelantikan Datuk Jamil Rakon sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu menggantikan Datuk Seri Mustafa Ali yang bersara wajib.

“Tetapi, semalam berlaku kejutan dan tercipta rekod baharu dalam sejarah pentadbiran kerajaan apabila Jamil ditukar dan tempatnya digantikan oleh Datuk Khairul Dzaimee.

“Ini proksi Menteri KDN,” katanya ringkas menerusi akaun Twitternya.

Khairul, 47, dilantik Ketua Pengarah Imigresen yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN sejak Julai 2018 dan kini digantikan oleh Jamil. – MalaysiaGazette