Home Ekonomi Hibah: Kami baru baik demam, jangan letak harapan tinggi sangat

Hibah: Kami baru baik demam, jangan letak harapan tinggi sangat

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat diringi Pengerusi Jawatan Kuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urus, Ybhg, Datuk Zaiton Mohd Hassan, mengadakan sesi taklimat berhubung perkembangan Pelan Pemulihan Tabung Haji di Mini Theatre, Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, KL. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 15 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji mengesahkan akan membayar hibah kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, imbang kira Tabung Haji telah dipulihkan semula dan semua aset tidak menguntungkan telah pun selesai dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. meletakkan syarikat itu di kedudukan yang layak untuk membayar hibah.

“Untuk 2018, insya Allah (ada pembayaran hibah) tetapi jangan harap (jumlahnya) banyak sangat kerana kita baru sahaja baik dari “demam”.

“Namun begitu, saya yakin bahawa pada 2019, kewangan Tabung Haji akan berada di kedudukan yang lebih baik,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Menyentuh mengenai satu lagi dakwaan yang mengatakan Tabung Haji sengaja melepaskan aset-aset berpotensi tinggi pada jangka masa panjang seperti Malakoff Bhd., UEM Sunrise Bhd. dan FGV Bhd. kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., yang dimiliki Kementerian Kewangan, Zukri menjelaskan, sukar untuk entiti itu memegang aset-aset yang sangat lemah untuk tempoh yang lama.

Ini juga akan menyebabkan Tabung Haji mungkin gagal untuk membayar hibah kepada pendeposit untuk satu tempoh yang panjang.

“Kita tidak mempunyai kelebihan dari segi masa untuk terus menyimpan aset-aset tersebut walaupun ia mempunyai potensi besar pada masa akan datang.

“Kita perlu memulihkan kewangan Tabung Haji dengan segera atau kita mungkin terpaksa melupakan pembayaran hibah kepada pendeposit untuk beberapa tahun akan datang (sekiranya tidak memindahkan aset tersebut kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.),” jelasnya.

Tabung Haji dijangka mengumumkan prestasi kewangan 2018 pada bulan depan.-MalaysiaGazette