CAMERON HIGHLANDS – Pakatan Harapan (PH) mengakui kesukaran untuk memecah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
Malah calonnya, M. Manogaran berkata, beliau tidak akan sesakali memandang remeh kebolehan pihak lawan termasuk dua calon bebas.
Dedah beliau, masuk hari ke-4 ini, persaingan dilihat sangat sengit dan tidak seharusnya dipandang ringan apatah lagi P078 ini sebenarnya deposit tetap BN selama ini.
“Saya patut akui PRK ini bukan mudah. Saya tidak anggap persaingan ini tidak sengit malah kelebihan yang mereka miliki sebagai kubu kuat selama ini.
“Malah dua calon bebas ini pun saya tidak anggap mudah dan remeh. Masing -masing ada kelebihan dan saya akan kerja dengan lebih keras untuk beberapa hari akan datang ini.
“Tetapi apa yang saya hendak cakap, semua tempat yang pergi sejak empat hari ini, penerimaan saya sangat baik dan terbuka. Masing-masing lahirkan rasa positif dalam menerima kehadiran saya,” katanya selepas sambutan Ponggal di kuil Sri Subramaniyar di Tanah Rata sebentar tadi.
Ketika di minta mengulas kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Cameron Highlands bagi membantu calon BN, Manogaran mengatakan beliau tidak tergugat berhubung isu tersebut.
“Tidak ada masalah, siapa pun boleh datang dan sokong mana-mana serta berkempen.
“Saya dengar juga tentang kehadiran beliau, hak pihak lawan untuk bawa sesiapa sahaja, terpulang dan tiada masalah,” ujarnya. -MalaysiaGazette