Home Ekonomi Penyertaan tenaga buruh November lalu turun

Penyertaan tenaga buruh November lalu turun

Kelihatan seorang pekerja membersihkan kolam ikan hiasan River Of Life ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2018 turun 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding bulan sebelumnya, namun meningkat 0.5 mata peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada bulan November 2017, kadar penyertaan tenaga buruh adalah 67.9 peratus.

Bilangan tenaga buruh pada bulan November naik 2.5 peratus berbanding November 2017 kepada 15.46 juta orang.

Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat 2.5 peratus kepada 14.94 juta orang, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Manakala, kadar pengangguran pada November 2018 kekal 3.3 peratus sejak September 2018 dan bilangan penganggur yang direkodkan adalah seramai 516.2 ribu orang, naik 2.2 peratus berbanding November 2017.

Kadar pengangguran (pelarasan musim) pada November 2018 naik kepada 3.4 peratus berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette