Home Ekonomi Tuntutan pampasan AS$7.5b kepada Goldman Sachs munasabah

Tuntutan pampasan AS$7.5b kepada Goldman Sachs munasabah

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng berkata, bayaran ganti rugi sebanyak AS$7.5 bilion yang diminta daripada Goldman Sachs adalah jumlah yang sangat munasabah.

Pampasan itu berikutan penyelewengan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan itu turut mempertikaikan bahawa Malaysia tidak pernah mendapat wang daripada terbitan bon-bon, bayaran yang dikenakan adalah sangat tinggi dan terma-terma yang tidak menguntungkan.

“Oleh itu kami melihat sejumlah wang, jumlah yang munasabah yang dapat mengimbangi penderitaan dan trauma serta kerugian yang kami alami.

“Saya berpendapat AS$7.5 bilion adalah angka yang sangat munasabah,” katanya kepada CNBC.

Beliau juga menyeru Goldman Sachs supaya bertimbang rasa dan memasukkan bayaran ganti rugi yang diminta itu dalam laporan pendapatan tahunannya.

Ketua Komunikasi Korporat Goldman Sachs Asia Pasifik, Edward Naylor yang dihubungi CNBC untuk mendapatkan maklum balas kenyataan Guan Eng merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang menyifatkan tuduhan terhadapnya merupakan “salah arah” dan berikrar “bersungguh-sungguh” mempertahankan bank itu.

Goldman Sachs mendakwa bank itu dibohongi oleh pelbagai pihak termasuk 1MDB dan ahli-ahli kerajaan Malaysia dan berkata ia tidak diberi peluang untuk bercakap sebelum tuduhan difailkan terhadap beberapa entitinya. – MalaysiaGazette