KUALA LUMPUR – Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019, yang berkuat kuasa hari ini, adalah pendekatan paragmatik diambil pihak berkuasa untuk mengawal selia mata wang dan aset digital, kata Bank Dunia.
Ketua Pakar Ekonomi dalam Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata, ekonomi digital dan teknologi disruptif menyediakan banyak peluang kepada negara membangun termasuk Malaysia.
“Bagaimanapun, ia turut datang dengan risiko. Oleh itu, adalah penting untuk berhati-hati dan mempunyai kawal selia ketat, khususnya dalam bidang pasaran kewangan, untuk memastikan pengguna dilindungi,” katanya kepada pemberita di luar persidangan “Globalisation: Contents and Discontents” Bank Dunia.
Bagaimanapun, pakar ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, seorang daripada pengerusi bagi sesi panel pada persidangan itu, menegaskan token digital seperti bitcoin, bukan mudah untuk dikawal selia.
Jomo, yang juga felo pelawat penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah berkata ini kerana tidak ada asas yang terlibat dalam urus niaga token digital kerana ia hanya bersandarkan pada “keyakinan”.
“Semua orang bercakap tentang bagaimana rantaian-blok teknologi memberikan anda begitu banyak ketelusan. Ketelusan untuk apa
“Semuanya tentang keyakinan. Jika anda yakin dengannya, harga akan naik. Sebaik sahaja anda berasa sangsi, harga akan turun. Tidak ada asas yang teribat dan anda kena fikir tentang sifat dan ciri produk ini,” katanya.
Dalam kenyataan semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata ia akan mengumumkan garis panduan yang akan merangkumi pewujudan kriteria bagi menentukan tatacara penerbit dan pengendali bursa, piawaian pendedahan dan amalan terbaik dalam penentuan harga, undang-undang urus niaga dan perlindungan aset pelanggan.
Ia juga berkata SC dan Bank Negara Malaysia akan mengadakan satu penyelarasan koordinasi untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kedua-dua pengawal selia. – MalaysiaGazette