KUALA LUMPUR – Nampaknya sekumpulan pemandu teksi yang dulu menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 kini terpaksa mengadap Datuk Seri Najib Razak.
Jika dahulu mereka berpakat mahu Pakatan Harapan (PH) menang kini mereka berharap bekas Perdana Menteri itu bersuara mewakili mereka.
Bagaimanapun Najib melayan tetamu yang diketuai Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini dengan baik walaupun mereka pernah berikrar menentang BN sebelum ini.
Nampaknya selepas PH menang, nasib pemandu teksi masih terkapai-kapai terutama dalam isu membabitkan pemandu e-hailing.
Mengulas perkara yang sama, Najib berkata, semasa pemerintahan BN kerajaan waktu itu masih mencari formula agar pemandu teksi dan e-hailing boleh berada pada peringkat sama.
“Objektifnya adalah bagi memastikan mereka sama peringkat dan adil kepada pemandu teksi,” katanya.
Pada masa itu kerajaan ada program khas untuk pemandu teksi seperti memberi geran RM5,000 bagi membeli teksi baru dengan lesen individu.
“Ada masanya juga kita bagi tayar percuma dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya sambil menambah kemelut teksi dengan e hailing tertangguh selepas adanya PRU-14.
Justeru kali ini, Najib memohon kepada kerajaan PH agar mempertimbangkan untuk rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pemandu teksi.
Ia perlu kerana ramai daripada mereka masih tidak memiliki rumah, katanya.
“Mereka sudah mohon tapi tidak dipertimbangkan. Pada saya ini tidak adil kepada mereka.
Sementara itu, Shamsubahrin pula dilaporkan berkata, selepas mendakwa kerajaan sekarang tidak membantu pemandu teksi, beliau menaruh harapan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.
Beliau berharap jika Anwar menjadi Perdana Menteri, pihaknya mahu isu mereka dan kemelut bersama e hailing dapat diselesaikan.- MalaysiaGazette