KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tahun akhir jurusan perubatan sebuah universiti awam di sini hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas kesalahan Muncikari atau menjadi ‘bapa ayam’ Ogos tahun lepas.
Mohd Luqman Zulkepli, 29, berasal dari Panji Alam dekat sini, dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di bandar raya ini antara pukul 2.43 pagi hingga 6.05 petang, pada 27 hingga 28 Ogos 2018.
Dia dituduh mengikut Seksyen 28 (Muncikari), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.
Hakim Kamalruazmi Ismail kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 24 Feb sebagai tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Muhammad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh diwakil peguam Fazru Anuar Yusof dan Mohd Sofian Arifin. – MalaysiaGazette