KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memberikan tumpuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dalam usaha membantu calon Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tumpuan diberikan di DUN tersebut selepas melihat Pakatan Harapan (PH) yang kurang memberikan fokus terhadap kaum Cina dan India di kawasan itu.
Malah katanya, bermula hari ini pihaknya telah menyelaraskan semua ketua-ketua pemuda dari seluruh Malaysia untuk berkampung di satu lagi DUN di Cameron Highlands iaitu DUN Jelai.
“Fokus kita akan lebih di DUN Tanah Rata kerana di DUN Tanah Rata ini kurang aktiviti-aktiviti.
“Mungkin PH terlalu yakin untuk dapat undi dari kaum Cina dan India. Tapi sebenarnya mereka lupa terlalu banyak isu-isu yang perlu kita dekati kaum Cina dan India ini.
“Banyak sekali penipuan dan janji palsu yang selama ini didambakan oleh mereka tapi tak tunaikan. Kita akan tumpu undi di Tanah Rata supaya undi Cina dan India dapat kita peroleh pada PRK ini dan mencapai kemenangan selesa,” katanya pada sidang media di PWTC di sini hari ini.
Sementara itu, Asraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO tiada halangan untuk menawarkan diri bertanding mewakili parti itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Katanya, pada masa ini pergerakan itu telah memulakan strategi dengan meletakkan kumpulan penyelidik bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung situasi semasa.
“Kita mahukan sentimen rakyat dan bukannya sentimen Pemuda UMNO. Kaji selidik yang sama juga telah dilakukan di PRK Parlimen Cameron Highlands.
“Setiap kali PRK, kita rasa ada calon untuk diketengahkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette