KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) diramalkan mampu memenangi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari ini dengan majoriti 3,000 undi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, faktor utama kemenangan itu kerana tidak berlakunya pertandingan tiga penjuru seperti Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu melibatkan UMNO, Pas dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, undi yang diterima Pas sebanyak 3,000 pada PRU lalu dapat diterjemahkan jika pengundi parti itu keluar menyokong BN seperti yang disarankan Pas Pusat.
“Faktor kedua kerana pengundi yang undi PH sudah mula sedar walaupun tidak semua.
“Mungkin BN dapat undi dari situ hingga 20 peratus dan mampu menambah undi kepada calon BN.
“Pada masa sama, PRK kali ini jentera BN tersusun dan bergerak teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Teh Tarik Bersama Media di Bangsar hari ini.
Tajuddin turut yakin calon BN yang merupakan anak tempatan berketurunan Orang Asli akan mendapat undi penuh daripada kaum itu.
“Kelebihan lain apabila pengundi Melayu melihat calon BN beragama Islam yang menjadi faktor tambahan.
“Jadi saya ramal BN akan menang dengan tidak kurang 3,000 undi berbanding 600 undi pada PRU,” katanya. – MalaysiaGazette