Home Nasional KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG di Selangor

KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG di Selangor

Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

NILAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebuah lori tangki yang memuatkan muatan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah premis di Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari berkata, turut dirampas ialah 267 buah tong gas LPG membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150,000.

Katanya, jumlah itu merangkumi 202 buah tong gas LPG 14 kilogram (kg), tiga buah tong gas LPG 12kg dan 62 buah tong gas 50kg.

“Hasil risikan selama satu bulan yang dijalankan pihak kami mendapati terdapat aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi dijalankan. Dalam serbuan yang dijalankan membabitkan 10 anggota pada 1.15 tengah hari semalam di premis terbabit, pekerja di premis itu berjaya melarikan diri dan tiada tangkapan yang dibuat.

“Bagaimanapun kita menjumpai satu pasport Malaysia di lokasi serbuan dan kita akan menyiasat pemilik sebenar premis berkenaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan menjalankan urus niaga tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Modus Operandi (MO) kali ini agak unik kerana ia memindahkan gas bersubidi daripada tong gas memasak ke dalam tangki lori dan kemudian dipindahkan ke dalam tangki lori yang lain. Kita percaya ia untuk pasaran industri di sekitar Selangor dan Lembah Klang dan bukannya untuk jualan runcit.

“Berbeza sebelum ini, aktiviti penyelewengan gas LPG ini dilakukan dengan pemindahan daripada tong gas 14kg kepada 50kg. Itu MO yang baharu. Setakat ini, kita boleh cakap ini kejayaan terbesar KPDNHEP,” katanya.

Suhaimi berkata, dengan rampasan itu, beliau percaya pihaknya telah berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas LPG.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan. – Bernama