Home Nasional Pesawat Cargolux mendarat cemas di KLIA

Pesawat Cargolux mendarat cemas di KLIA

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Cargolux Airlines yang dalam perjalanan ke Zhengzhou, China berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi apabila krunya melaporkan terdapat kebakaran kecil dan asap di kokpit.

Cargolux berkata, situasi kecemasan telah diisytiharkan selepas kru penerbangan CV7303 melaporkan insiden tersebut.

“Penerbangan Cargoluc CV7303 (LX-VCJ) selamat mendarat di (KUL) Kuala Lumpur selepas kecemasan diisytiharkan,” katanya dalam akaun Twitter.

Menurut data flightradar24, pesawat kargo Beoing, B747 itu berlepas pada pukul 7.54 malam semalam dan berpatah balik, namun tiada masa pendaratan dipaparkan.

Kata Cargolux, perkhidmatan menyelamat dimaklumkan mengenai perkara itu dan landasan ditutup sementara waktu dan dibuka semula selepas pesawat berada di kawasan meletak pesawat.

“Pihak berkuasa telah dimaklumkan dan Cargolux akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan bagi menentukan punca insiden ini,” katanya. – MalaysiaGazette