GEORGE TOWN – Kesedaran dalam kalangan masyarakat India mengenai pembaziran memecah kelapa pada perayaan Thaipusam sejak beberapa tahun lepas telah menunjukkan kesan yang positif, kata Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V Subbarow hari ini.
Katanya, pada tahun 2018 pembaziran buah kelapa dicatatkan sebanyak 300,000 biji berbanding 2017 iaitu sebanyak 500,000 biji kelapa.
“Apa yang CAP lihat kebelakangan ini ialah kesedaran dalam kalangan masyarakat India di sini (Pulau Pinang) meningkat dan diharap pembaziran ini dapat dikawal,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini.
Katanya, seperti tahun-tahun sebelum ini, CAP akan sentiasa memainkan peranan dalam mendidik masyarakat masyarakat terutamanya masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Thaipusam pada 25 Jan ini supaya mengurangkan amalan pembaziran yang dilihat amat merugikan.
“Amalan memecah kelapa perlu dilaksanakan dengan betul dan penuh keabdian iaitu dengan hanya perlu memecahkan sebiji kelapa sahaja bukannya dalam kuantiti yang banyak.
“Membelanjakan wang untuk membeli ribuan kelapa tidak dianggap bijak terutama sekali dengan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu ini, tambahan harga kelapa pada musim perayaan ini dijangka meningkat iaitu sekitar RM2.20 ke RM2.50 berbanding RM1.50 sebiji pada hari biasa,” katanya.
Katanya lagi, penganut Hindu juga boleh menyalurkan wang mereka kepada badan-badan kebajikan berbanding hanya berbelanja besar ke atas buah kelapa sahaja.
“Kalau boleh, salurkanlah sumber kewangan kepada badan kebajikan mahupun kuil kerana ia dilihat lebih bermanfaat dan amat dialu-alukan dalam agama,” katanya. – Bernama