
SHAH ALAM – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bekas calon Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam pada 7 Jan lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. D Ozziram, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari.
Mengikut pertuduhan, Ozziram bersama-sama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa membunuh M. Thiyahu, 30, di bawah blok 53, Flat Nilam Sari, Jalan Plumbum 7/100A, Seksyen 7 di sini, antara 5 hingga 5.30 petang pada 7 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Amira Haziqah Zulkifli sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan Thiyahu diserang tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja menyebabkannya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan meninggal dunia kira-kira 6.30 petang, hari yang sama.
— BERNAMA