Home Politik Perumahan moden bukti BN tak pinggir Orang Asli – Najib

Perumahan moden bukti BN tak pinggir Orang Asli – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian penduduk orang asli selepas bersarapan bersama mereka sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 18 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS  – Projek perumahan Orang Asli di Kampung Ruil di sini merupakan bukti jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan kebajikan dan nasib komuniti penduduk asal itu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek perumahan yang menelan belanja RM44 juta itu membuktikan tuduhan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa Orang Asli dipinggirkan tidak berasas.

“Projek pembangunan semula Kampung Sungai Ruil ini merupakan satu projek yang sangat teristimewa kepada masyarakat Orang Asli bukan sahaja kosnya besar RM44 juta bahkan setiap unit itu diberi secara percuma kepada Orang Asli.

“Tanah itu pula dikurniakan oleh kerajaan negeri Pahang dan nilai (semasa) mengikut (maklumat) Menteri Besar Pahang pula untuk satu unit sekarang ini bernilai RM400,000.

“Jadi, kalau ada mana-mana pemimpin PH kata BN tak tolong masyarakat Orang Asli.

“Inilah bukti dan inilah yang sebenarnya yang tak boleh dinafikan, inilah kenyataan,” katanya selepas menyantuni dan bersarapan bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata pagi ini.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sejak 12 Januari lalu, calon PH, M.Manogaran berulang kali menuduh kerajaan BN dahulu dan kerajaan negeri telah meminggirkan komuniti berkenaan.

Malah ada juga tuduhan mengatakan komuniti Orang Asli juga jauh ketinggalan daripada segi peluang pendidikan yang sama rata berbanding masyarakat Melayu, Cina dan India di negara ini.

Najib selaku Ahli Parlimen Pekan juga berkata, penempatan Kampung Sungai Ruil merupakan contoh perumahan moden Orang Asli di negara ini dan projek seumpama itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat.

“Perlahan-lahan la..takkan buat serentak, banyak tempat lagi, kita buat berperingkat-peringkat la..ini (perumahan) istimewa sebab ada musibah berlaku malah ia pula dalam bandar.

“Tempat-tempat lain itu berperingkat-peringkat, kita ada rancangan. Memang ada program nanti, benda ini tak boleh jadi satu malam, tempat bertaburan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts