
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat bagaimanapun berkata, polis sedang menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat wanita itu sebelum sebarang tindakan.
“Selepas kita terima laporan rasmi bedah siasat baharulah kita ambil tindakan seterusnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan.
“Kita juga belum pasti kejadian sebenar termasuk sama ada wanita itu dirogol atau tidak sebelum dibunuh, berdasarkan keadaan dia yang ditemui mati dalam keadaan berbogel,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, mayat ibu tunggal yang dikenali sebagai Jamilah Mat Shaari, 33, ditemui tanpa pakaian di atas katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, oleh adik iparnya pada pukul 5 petang, sebaik pulang dari tempat kerja.
Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun menyewa di rumah berkenaan bersama empat anggota keluarga yang lain.
— BERNAMA