SINGAPURA – Menteri Pertahanan Singapura berkata pesawat pejuang Lockheed Martin, F-35 adalah paling sesuai untuk menggantikan angkatan pesawat F-16 dan negara itu merancang membeli ‘beberapa pesawat’ untuk penilaian.
Negara yang mempunyai bajet pertahanan terbesar di Asia Tenggara itu menjadi tumpuan syarikat pembekal peralatan ketenteraan global memandangkan ia merancang untuk melabur dalam teknologi baharu dana menambah baik peralatannya.
Singapura mempunyai kira-kira 60 buah jet pejuang F-16, yang mula diguna pada 1998, akan dihentikan operasi selepas 2030.
“Mereka (agensi pertahanan) telah memutuskan bahawa F-35 merupakan pengganti yang paling sesuai,” kata Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen dalam hantaran Faacebooknya, lapor South China Morning Post.
“Kami mahu memperoleh beberapa pesawat dahulu, untuk menilai keupayaan sepenuh F-35 sebelum memutuskan untuk memiliki sebuah angkatan pesawat,” tambah beliau.
Ng berkata, kakitangan agensi pertahanan akan berbincang dengan rakan sejawat mereka di Amerika Syarikat (AS) untuk menggerakkan proses itu , namun ia akan mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan untuk memuktamadkan terma perjanjian awal.
Pesawat F-35, salah sebuah pesawat pejuang termoden, menjana suku daripada jumlah perolehan Lockheed.
Kos sebuah pesawat F-35A variasi asas adalah kira-kira AS$90 juta, bergantung kepada rundingan kontrak dengan Pentagon di AS.
Harga F-35 telah mencetuskan kritikan daripada Presiden Donald Trump dan para pegawai AS yang menuding jari kepada beberapa kelewatan pengeluaran dan lebihan kos.
Pada tahun lalu, semua pesawat F-35 digantung operasi bagi membolehkan pemeriksaan eniin dilakukan berikutan kemalangan pesawat F-35B pada 8 September dekat Beaufort, Carolina Selatan. – Agensi