KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor meminta Menteri Besar Johor berkata benar dalam isu dakwaan menceroboh perairan Singapura.
Ketuanya, Mohd. hairi Md. Shah berkata, Datuk Osman Sapian perlu mengakui kesilapan dan perlu memohon maaf kepada semua Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya kerana beliaulah punca hubungan dan rundingan Malaysia-Singapura menjadi keruh kembali.
Menurutnya, apa motif tindakan Osman mahu melawat petugas Jabatan Laut Malaysia dalam perairan pertikaian antara kedua-dua negara sehari selepas pertemuan Menteri Luar berlangsung.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpendapat, tindakan Osman adalah dilakukan pada waktu, tempat dan masa yang salah.
“Apa yang paling menggelikan hati, hari ini Kementerian Luar dalam satu kenyataan balas terhadap komen Osman Sapian memaklumkan tidak membenarkan lawatan dibuat rombongan Menteri Besar itu.
“Mengapa sebelum ini dalam sidang media lain pula nada Osman Sapian? Dengan lagaknya memberitahu media sudah menelefon Menteri Luar selama 40 minit, juga Timbalan Menteri Luar kononnya untuk mendapat ‘restu’ membuat lawatan itu,” kata Mohd. Hairi.
Rupa-rupanya hari ini, katanya, tembelang Osman pecah dengan kenyataan Kementerian Luar yang membawa maksud rombongan beliau tidak pun mendapat kebenaran daripada pihak kementerian.
“Pergerakan Pemuda UMNO Johor di sini ingin menegaskan, kenyataan ini tiada kena mengena tentang isu tidak menyokong negara sendiri atau sebagai Bangsa Johor tidak memberi sokongan pada pemimpin yang kononnya mahu melihat sempadan kedaulatan negara, tidak sama sekali.
“Soal kedaulatan dan hak ruang udara serta maritim Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Johor tegas dengan pendirian tetap mahu kerajaan mempertahankannya daripada jatuh ke tangan orang lain, ambillah iktibar Pulau Batu Putih.
Namun, perlu diingat pertikaian itu membabitkan Government to Government dan jalan penyelesaian paling ‘mujarab’ adalah dengan meja rundingan, duduk bersemuka dan adakan pertemuan bagi menyelesaikannya.
– MalaysiaGazette