Home Politik Banyak projek BN dihentikan PH di C. Highlands

Banyak projek BN dihentikan PH di C. Highlands

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menempelak dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Bahkan katanya, ia berpunca daripada tindakan kerajaan PH yang membatalkan peruntukan beberapa projek pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Cameron Highlands pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Dulu ada juga Datuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) bagi masjid (Sungai Koyan) RM5 juta kepada kita, bagi jalan ke Pos Sinderut RM35 juta, bagi jalan ke Pos Lenjang RM15 juta. Elok-elok nak buat kita (BN) kalah pula, PH hentikan pula (projek).

“Lepas itu bila dia masuk dia tak pernah pijak pun bumi Cameron Highlands ini, tanah Jelai ini, dia datang-datang dia tersangkut di Pos Lenjang… Dia kata kita tak buat kerja, tiada pembangunan di Jelai, Cameron Highlands…

“Yang dia ‘stop’ peruntukan dia lupa,” bidasnya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Calon BN, Ramli Mohd Nor yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama peneroka Felda Sungai Koyan di Dewan Jubli Perak, di Jelai malam tadi.

UMNOonline melaporkan, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang menimbulkan persoalan adakah PH perlu disokong pada hari pengundian 26 Januari ini?

Katanya, adakah kerajaan seperti itu rakyat hendak bergantung, yang jelas menipu.

“Adakah calon dia yang hendak kita pilih pada 26 haribulan ini?,” soalnya sambil hadirin sebulat suara menjawab tidak.

Wan Rosdy turut menyeru pengundi supaya menewaskan calon PH dari parti Dap, M.Manogaran buat kali ketiga apatah lagi calon BN lebih baik dan berkaliber serta anak tempatan dari etnik Semai.

Berhubung dengan tuduhan Lim Guan Eng yang mengatakan kewangan kerajaan negeri Pahang teruk, Wan Rosdy membidas dengan berkata:

“Lim Guan Eng kata kedudukan kewangan negeri Pahang teruk, dulu Tengku Zulpuri kata beri tiga bulan sahaja negeri Pahang di bawah pentadbiran menteri besar baharu akan bankrap tetapi jika Kerajaan Persekutuan boleh bayar bonus kepada kakitangan awam, kerajaan negeri juga mampu membuat sedemikian.

“Kerajaan Persekutuan pecat pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) seramai 44 orang, kerajaan negeri ambil mereka untuk bertugas di negeri Pahang,” tegasnya.

Begitu juga tambahnya, Bajet 2019 bagi kerajaan negeri Pahang mempunyai lebihan sebanyak RM28 juta. – MalaysiaGazette