Home Politik Janji elektrik, air: Kerajaan BN lebih utamakan Orang Asli

Janji elektrik, air: Kerajaan BN lebih utamakan Orang Asli

Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas (kiri) menghidupkan generator yang digunakan sebagai bekalan elektrik penduduk di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Ketiadaan kemudahan asas bekalan elektrik sejak tahun 1999 telah memaksa seramai 64 keluarga Melayu di Kampung Tersusun MTD (Mawar Tepian Desa) di sini terpaksa menggunakan set generator untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Seorang penduduk, Ramlah Ali (bukan nama sebenar) yang ditemui berkata, setiap kali musim pilihan raya, banyak pihak akan mendekati mereka dan berjanji untuk mendapatkan kemudahan asas itu.

Ramlah berkata, perkara sama turut dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang sejak 19 tahun lalu bagaimanapun sebaik sahaja memenangi pilihan raya, janji yang dibuat masih gagal ditunaikan.

“Kerajaan BN memalukan, kenapa kerajaan boleh bagi kepada Orang Asli, kenapa tak boleh bagi kepada orang Melayu?

“Sepatutnya orang Melayu (boleh dapat) sebab sini semua orang Melayu, bukan bangsa asing duduk. Orang Melayu tak dapat elektrik, yang dapat Orang Asli.

“Dekat kita dia janji, bila nak mengundi letak tiang (elektrik), bila BN menang sahaja, cabut tiang. Apa guna letak lepas itu cabut balik, masa itu (zaman) Datuk G. Palanivel,” katanya kepada pemberita ketika dilawati Presiden MyPPP di Kampung Tersusun MTD hari ini.

Malaysia Gazette dimaklumkan, tanah Kampung Tersusun MTD yang terletak berdekatan Simpang Pulai diteroka oleh seramai 164 keluarga secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan negeri.

Mereka yang tinggal di situ sejak 19 tahun lalu, majoritinya tidak mendapat kemudahan asas iaitu bekalan elektrik dan sumber air bersih sebaliknya terpaksa bergantung kepada set generator dan air bukit.

Ramlah yang berang dengan sikap pemimpin BN yang gagal menunaikan janji itu berkata, dia sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan BN.

“Semua sama saja, Datuk C.Sivarraajh (bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands) pun sama, dia kata okay kita cari elektrik, kita pun seronok. Bila menang saja, BN cabut tiang elektrik.

“BN janji dari dulu lagi, saya rasa dekat 12 tahun sampai sekarang tiada elektrik, mana saya tak ‘panas’.

“Saya nak mengundi BN pun saya sakit hati, biar saya luahkan. BN ini cakap saja pandai, tapi tak tepati janji.

“Macam sebelum ini, (calon BN) Ramli (Md. Nor) datang janji nak bagi elektrik, saya cakap pasang tiang elektrik baru kita undi BN, kalau tidak saya undi Pakatan Harapan (PH),” katanya.

MGF19012019_KAMPUNG MAWAR TIADA AIR DAN ELEKTRIK03
Kawasan Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa inilah yang tiada bekalan air dan elektrik sejak tahun 1999 di Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

Menurut Ramlah lagi, akibat janji palsu itu, dia bersama keluarga lain di situ terpaksa berbelanja sehingga RM600 untuk kos minyak petrol bagi menggunakan set generator bagi mendapatkan elektrik.

“Kalau BN janji tak dapat, PH janji tak dapat, tak payah lah, kita pakai generator, apa susah?

“Saya tak kisah sebab dah biasa dengan pakai generator. Tak larat  nak pergi jumpa sana, pergi jumpa orang sini.

“Hari itu kita ada jumpa dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang datang ke Masjid Kampung Raja, tuanku janji suruh pembantu datang, tapi pembantu dia haram seorang pun tak datang.

“Datanglah tengok tempat kita ada elektirk atau tidak. Masalahnya kali ini macam mana kita nak pilih dia (BN), dia tak tepati janji tipu punya sakit hati lah, malaslah dengan BN,” tegasnya.

Ditanya tentang bekalan air bersih, Ramlah berkata, mereka terpaksa bergantung kepada air bukit berdekatan malah kadang-kala memaksanya mengangkat air bersih dari tempat jauh untuk minum dan memasak.

“Air pun tak ada, ini pun air bukit kalau hujan, dia tutup lubang air itu, mana ada air dalam ini, kena angkut air di bukit situ.

“Ini pun air kecil saja, hari-hari nak hantar dobi, duit bukan banyak, minyak sebulan dekat RM600, dobi lagi, tak payah makan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette