Home Nasional Parti politik sangat berhati-hati berkempen

Parti politik sangat berhati-hati berkempen

Jais Abdul Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

TANAH RATA – Rata-rata calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands sangat berhati-hati dalam menjalankan aktiviti kempen mereka kerana sedar mereka sedang diperhatikan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata situasi itu timbul berikutan penularan beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang petugas parti Pakatan Harapan (PH) memberikan wang kepada Orang Asli yang mengambil bahagian dalam aktiviti hari penamaan calon di Tanah Rata, 12 Jan lalu.

Wang itu dilapor diberikan sebagai membayar semula wang minyak motosikal seramai 60 Orang Asli yang hadir pada hari berkenaan dengan masing-masing menerima RM20.

“Sejak kejadian itu kami dapati pihak parti politik sangat berhati-hati dalam menjalankan aktiviti mereka.

“Ini adalah satu perkara yang sangat baik bahawa kesedaran itu timbul apabila ada pendedahan sesuatu kes oleh netizen dan kami harap netizen terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai kes-kes seumpama itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Jais berkata, setakat ini pihaknya menerima lima aduan berkaitan salah guna kuasa dan rasuah sepanjang tempoh berkempen dengan aduan itu telah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MCW tidak mempunyai kuasa menyiasat. Kami hanya terima laporan daripada orang awam termasuk netizen dan meminta mereka memberikan maklumat yang terperinci. Seterusnya kami akan salurkan maklumat kepada SPRM.

erdahulu Jais mengahdiri sesi ramah mesra calon Pakatan harapan, M. Manogaran bersama pengundi di sekitar pekan Tanah Rata dan turut disertai Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer.- MalaysiaGazette