KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak pengurusan tertinggi Bank Simpanan Nasional (BSN) berhubung dakwaan menyediakan skim pinjaman tanpa cagaran kepada satu kaum tertentu.
Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, beliau terkejut dengan berita itu setelah mendapat aduan daripada beberapa bumiputera yang mendedahkan mengenai ‘keistimewaan’ skim berkenaan, yang dikatakan diperkenalkan khusus untuk kaum berkenaan.
“Saya minta CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) BSN tampil menjawab perkara ini. Perkasa juga ingin tahun adakah skim itu diluluskan oleh Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau Kementerian Kewangan.
“Walaupun jumlah pinjaman tidak banyak iaitu RM50,000 sahaja diluluskan, tetapi pinjaman tanpa cagaran itu yang mengejutkan kita.
“Sedangkan, pinjaman untuk bumiputera dan Melayu walaupun lebih sedikit dari itu, dikenakan cagaran dan bermacam-macam syarat yang ketat,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan peruntukan diberikan kepada Kolej Universiti New Era baru-baru ini bukan wang kerajaan.
Katanya, jika bukan peruntukan dari kerajaan, wang yang diberikan itu diperoleh dari mana dan Guan Eng perlu menjelaskan kepada orang ramai.
“Kita nak tahu duit dari mana dan sekolah swasta sebenarnya tidak layak diberikan peruntukan, begitu juga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
“Peruntukan dari kerajaan hanya untuk Sekolah Kebangsaan (SK) sahaja, bukan untuk sekolah persendirian dan sekolah jenis kebangsaan,” katanya.
Beliau turut mengulas mengenai inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang disifatkannya sebagai kes yang perlu diberitahu kepada umum berhubung keputusan punca kematiannya.
Katanya, Perkasa pada dasarnya terkejut dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk mengadakan inkues kerana kaedah itu walaupun melalui mahkamah, adakah untuk mencari punca kematian, bukan siapa yang membunuh.
“Polis sudah mendakwa pembunuh, kerana sudah ada saksi tetapi keempat-empat suspek itu telah dibebaskan dengan jaminan. Mungkin mereka sudah lari.
“Perkasa terkesan dengan kes ini dan selagi kes ini tidak diselesaikan mengikut undang-undang, kita akan mengambil serius.
“Saya sendiri tidak boleh tidur memikirkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Bahkan, selagi kes ini tidak selesai, ia akan bermain di jiwa rakyat terutama orang Melayu,” ujarnya.
Ibrahim mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa mereka boleh jatuh pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya gagal menyelesaikan kes berkenaan. – MalaysiaGazette