Home Nasional Bukan soal moral tapi pengasingan kuasa

Bukan soal moral tapi pengasingan kuasa

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Isu tari menari yang dibangkitkan membabitkan badan tertinggi kehakiman dan eksekutif bukan soal moral, kata Khairy Jamaluddin

Sebaliknya, persoalan yang ditanya adakah tingkah laku dan pergaulan tersebut sesuai dalam konteks pengasingan kuasa.

Selain itu, ia turut mengingatkan tindak balas yang serupa yang dibuat Pakatan Harapan pada masa lalu.

Ini kerana, bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali pernah dikritik oleh pemimpin Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang pada 2016 susulan klip video memaparkannya menari bersama beberapa pemimpin Barisan Nasional.

“Hujah polisi moral adalah mengelirukan dan tidak relevan, kata ahli Parlimen Rembau itu.

Khairy membuat komen itu selepas bersetuju dengan pandangan seorang netizen yang mengulas mengenai aksi tari menari yang disertai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong di Sabah.

Kata netizen itu, jika kita tidak setuju dengan keakraban yang tidak sepatutnya berlaku antara badan kehakiman dengan eksekutif pada masa lalu, kita tidak seharusnya bersetuju pada masa sekarang, rujuk kepada 8(2). Ia bukan mengenai bersuka ria untuk diri sendiri.

Ia adalah mengenai ketekalan dan integriti.

Komen netizen itu ditujukan kepada peguam aktivis, Siti Kassim.

Semalam, Siti Kassim dalam komennya di Facebook menganggap mereka yang mengkritik beliau dan beberapa tokoh kehakiman menari atas pentas sebagai terencat.

“Hanya kerana kami menikmati makan malam ada golongan terencat tak tahan lihat AG (Peguam Negara) dan CJ (Ketua Hakim) menari bersama kami,” katanya menerusi status media sosialnya malam tadi.

Malah, kata, Siti Kassim, golongan terencat itu lebih baik ‘bunuh diri’. – MalaysiaGazette