TANAH MERAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mengesan terdapat warga negara Pakistan mengambil kesempatan berkahwin dengan wanita tempatan bagi tujuan tinggal lebih lama di negara ini untuk berniaga.
Pengarahnya Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat rungutan masyarakat terutama peniaga tempatan apabila semakin ramai warganegara terbabit mengambil kesempatan berkenaan.
“Setakat ini kami mendapati 400 pasangan warga Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan di negeri ini dan sebanyak 10 hingga 15 kes dibatalkan permit ekoran melakukan kegiatan yang mana pihak kami mengesan warga negara itu tidak tinggal dengan isteri dan hanya berkahwin untuk tujuan tertentu.
“Agak tidak wajar warga asing itu berusia 20 hingga 30-an dilihat sanggup berkahwin dengan wanita tempatan walaupun berusia lebih separuh abad bagi mendapatkan lesen mudah untuk tinggal di Malaysia dan menjalankan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Setia Berjasa di Depoh Tahanan Imigresen, Tanah Merah di sini, hari ini.
Azhar berkata, warga Pakistan itu kebanyakannya berniaga kedai runcit serta menjual karpet dan kehadiran mereka dilihat semakin ramai.
“Kita sering menjalankan lawatan di tempat tinggal dan di premis perniagaan bagi mengenal pasti sama ada mereka berkahwin dan tinggal secara sah dengan isteri mereka atau sebaliknya hanya tujuan kahwin untuk menetap lebih lama di negara ini,” katanya.
“Hakikat sebenarnya golongan ini berniat untuk meraih keuntungan dengan cara mudah,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan dalam mengesan pendatang asing tanpa izin yang berada di negeri untuk tujuan pembersihan.
“Kita juga turut memantau tiga pintu masuk di Kelantan iaitu Rantau Panjang,Tumpat dan Jeli dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan warga asing ke negeri ini.
“Namun laluan tikus menjadi masalah kepada pihak kami kerana laluan sukar dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette