Home Seni Hidup Selangor anjur Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL

Selangor anjur Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL

konsert
Poster Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL yang bakal berlangsung 2 Februari ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan menganjurkan sebuah Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL yang akan berlangsung pada 2 Februari ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, konsert yang akan diadakan itu bakal membantu usaha kerajaan negeri menangani gejala najis dadah.

Beliau berkata, sebanyak RM2 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan ke Tabung PEMADAM Selangor bagi tujuan melancarkan pelbagai aktiviti.

Katanya, kutipan amal itu akan dimanfaatkan dengan program kesedaran, antaranya Jelajah Anti Dadah dalam menjelaskan ancaman dadah terbaharu seperti New Psychoactive Substance (NPS).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah seperti diilhamkan Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga merangkap Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Konsert Dewa 19 Reunion Live In Concert di Stadium Malawati, di sini bakal melakar sejarah tersendiri apabila dua bekas vokalis kumpulan popular Indonesia itu bergabung di pentas yang sama.

Konsert tersebut menemukan Ari Lasso dan Once yang sebelum ini, pernah menunjangi kekuatan kumpulan asal dari Surabaya itu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memaklumkan, mereka akan membawakan sekitar 30 lagu popular bermula dari album sulung, Dewa 19 yang dihasilkan pada 1992. – MalaysiaGazette