Home Nasional Hapus ‘hutang tak wajar’ wayang PH

Hapus ‘hutang tak wajar’ wayang PH

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan disifatkan hanya pandai bermain wayang apabila memberi jaminan bahawa kerajaan akan menghapuskan hutang peneroka yang dikategorikan sebagai tidak wajar.

Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda (SGBF), Datuk Zulkefli Nordin berkata, penghapusan hutang tidak wajar tidak akan terlaksana selagi Penyata Hutang tidak didedahkan.

“Berjanji nak lupus 50% hutang. Terbaru konon berjanji nak hapus hutang yang tidak wajar.

“Tak perlu main wayang la. Nak hapus macam mana? Mana Penyata Hutang Peneroka yang telah dimuktamatkan? Sejak dulu tiada Penyata Hutang yang telah dimuktamatkan secara bersama,” katanya menerusi Facebook.

Semalam Azmin dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan tidak akan menghapuskan semua hutang peneroka Felda, sebaliknya hanya akan dihapuskan oleh agensi berkenaan berdasarkan perkara tertentu seperti dalam konteks ‘hutang tidak wajar’.

Malah beliau menekankan prinsip dan teras dalam Islam tentang hutang wajib dibayar dan merupakan persetujuan antara kedua-dua belah pihak iaitu peminjam serta orang yang meminjam.

Tambah Zulkefli lagi, janji yang tidak jelas ini membuktikan Pakatan Harapan hanya arif dalam berkata-kata seterusnya menjadikan peneroka Felda sebagai mangsa penipuan.

“Berjanji dan terus berjanji. Yang berjanji pun tak tahu dan tak faham apa yang dijanji. Main sebut je janji !

“Nak terus permainkan Peneroka Felda ka? Cukup cukup la tu!,” tambahnya. – MalaysiaGazette

+ posts