Home Nasional Kerajaan tidak tergesa-gesa putuskan model baharu gantikan Bernas

Kerajaan tidak tergesa-gesa putuskan model baharu gantikan Bernas

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bercakap pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di MOA, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JULAI 2018
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan berkenaan monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memandangkan kontrak Bernas dengan kerajaan hanya akan tamat pada 2021, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Kabinet telah bersetuju untuk memecahkan monopoli Bernas dan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan terdiri daripada lapan kementerian sedang berusaha merencanakan model baharu menggantikan Bernas.

“Ini isu besar negara dan kami kena lihat secara holistik dan tak perlu tergesa-gesa kerana ini adalah isu keselamatan makanan negara,” katanya pada sidang media selepas majlis amanat 2019 bersama menteri di sini hari ini.

Salahuddin berkata semua cadangan model yang dikemukakan kepada kerajaan akan diteliti secara holistik dan beberapa badan bukan kerajaan, individu dan pemain industri telah dijemput untuk mengemukakan pandangan mereka mengenai model baharu menggantikan Bernas.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran padi untuk kegunaan tempatan kepada 75 peratus berbanding 70 peratus pada ketika ini dalam masa tiga ke empat tahun dari sekarang.

“Kita juga akan meningkatkan penggunaan teknologi dengan kaedah ‘soil profiling’, penggunaan baja dan varieti padi yang sesuai,” katanya.

Pada tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM1.18 bilion bagi kos pengimportan beras sebanyak 740,000 tan metrik, katanya.

–BERNAMA