Home Nasional SPR sasar 70 peratus keluar undi awal

SPR sasar 70 peratus keluar undi awal

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

BRINCHANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan sehingga 70 peratus jumlah keluar mengundi awal bagi anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, peratusan itu boleh dicapai selepas sejam pusat mengundi awal dibuka jam 8 pagi tadi mencatatkan 20 peratus keluar mengundi.

“Kita sasarkan keluar mengundi 70 peratus. Nampaknya peratusan keluar mengundi selepas setakat jam 9 pagi tadi sudah 20 peratus.

“Semuanya berjalan lancar pihak polis telah berjaya menguruskan keselamatan dan mengawal trafik dengan amat baik sekali,” katanya pada sidang medi di pusat mengundi awal di Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.

Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (dua kanan) bersama setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (dua kiri) meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Balai Polis Brinchang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2019.

Hari ini merupakan hari mengundi awal bagi PRK Cameron Highlands yang melibatkan 247 anggota polis layak mengundi.

Sebanyak dua pusat mengundi terlibat dalam proses mengundi awal hari ini iaitu di Balai Polis Brinchang bagi DUN Tanah Rata dan Balai Polis Sungai Koyan untuk DUN Jelai.

Seramai 232 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi DUN Tanah Rata manakala 15 orang pula untuk DUN Jelai.

Azhar juga berkata, undi awal anggota polis bagi dua pusat mengundi hari ini akan dikira selepas proses pengundian pada 26 Januari ini.

“Peti undi awal hari ini akan disimpan dalam lokap sehingga hari mengundi tamat proses pengundian pada 26 Januari ini,” katanya.

Azhar turut menasihatkan pihak berkuasa terbabit agar keluar undi lebih awal dan tidak membuang undi pada saat akhir bagi melancarkan proses pengundian, hari ini.

“Jangan tunggu saat akhir dan saya harap parti-parti politik pun menjalankan tugas mereka untuk menyeru ahli-ahli mereka keluar mengundi awal supaya proses pilihan raya berjalan lancar, tak payah tunggu saat akhir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts