KUALA LUMPUR- AirAsia membuat tuntutan balas lebih RM400 juta daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sebagai maklum balas kepada satu saman berkaitan cukai yang difailkan pengendali lapangan terbang itu bulan lepas.
Tuntutan tersebut adalah bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan syarikat sekutunya, AirAsia X Bhd. akibat gangguan operasi di klia2.
Gangguan tersebut menurut AirAsia termasuk keretakan saluran bahan api yang berlaku di Pier P selama lebih sebulan di klia2 bermula 11 Oktober 2016 sehingga 22 November 2016.
Penutupan landasan 3 selama beberapa kali pada tahun lepas serta kerugian yang ditanggung akibat penambahan peralatan menunda pesawat, kos bahan api, kelewatan penerbangan, penglibatan tenaga kerja, pembatalan penerbangan yang menyebabkan kehilangan perolehan dan kos taxing.
Dalam kenyataan belanya, AirAsia dan AirAsia X mengkritik MAHB kerana keterlaluan di dalam memfailkan saman tersebut.
Kedua-dua syarikat penerbangan tersebut turut membuat permohonan untuk menolak saman berkenaan dengan alasan ianya tidak matang kerana MAHB tidak mematuhi peruntukan berkenaan pertikaian di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) 2015.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, mereka sentiasa bersedia untuk berunding secara konstruktif dengan MAHB serta anak-anak syarikatnya.
Mereka juga kesal kerana MAHB telah memilih jalan perundangan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
“Kami mengekalkan kenyataan bahawa pertikaian berhubung cukai lapangan terbang tersebut adalah perkara yang boleh didamaikan dan diselesaikan oleh Mavcom.
“MAHB sangat maklum mengenai perkara ini sebelum mereka memfailkan saman.
“Mereka telah berhubung dengan AirAsia melalui rundingan mulut serta surat bagaimanapun MAHB telah memilih jalan yang tidak sejajar dengan Akta Mavcom iaitu dengan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Riad dan Benyamin, mereka akan terus menggunakan peruntukan di bawah Akta Mavcom dan mendapatkan tuntutan tersebut melalui orang tengah.- MalaysiaGazette