Home Utama Bayaran Bantuan Sara Hidup dibuat pada 28 Januari

Bayaran Bantuan Sara Hidup dibuat pada 28 Januari

Kementerian kewangan
Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa pertama 2019 akan dilaksanakan pada 28 Januari 2019 ini.

Pembayaran bagi golongan B40 itu mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembayaran BSH itu akan dimanfaatkan kepada 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2
bilion.

Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Katanya, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum bulan Februari 2019.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak memerlukan masa yang panjang
untuk dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 selepas proses kemas kini dilaksanakan.

Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat. – MalaysiaGazette