CAMERON HIGHLANDSÂ – Tiada keperluan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa bimbang dengan kehadiran Datuk Seri Najib yang datang untuk bantu berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kedatangannya adalah atas permintaan orang tempatan di kawasan tanah tinggi itu.
“Kenapa dia nak kisahkan saya, ini hak saya sebagai pemimpin dan saya turun ini kerana permintaan orang tempatan.
“Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan kepada saya, tempat-tempat orang tempatan minta (datang) dan ada yang hantar whatsapp kepada saya secara terus.
“Misalnya saya pergi Pos Betau tadi atas kehendak Orang Asli dan mereka nak saya datang lagi, saya tak pergi tempat yang orang tak nak saya pergi
“Saya pergi tempat yang orang minta saya pergi dan itu hak saya sebagai seorang pemimpin dalam BN,” katanya ketika ditemui selepas melakukan walkabout di pekan Ringlet, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Anwar selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam dengan kemunculan beberapa kali Najib ke Cameron Highlands sepanjang kempen pilihn raya di kerusi P078 itu.
Kehadiran bekas Presiden UMNO itu mendapat sambutan luar biasa khususnya oleh masyarakat Orang Asli dan komuniti peneroka Felda seperti Pos Betau, Pos Terisu, Pos Mensun, Kampung Sungai Tiang, Sungai Koyan dan Kampung Keledek.
Najib selaku Ahli Parlimen Pekan juga menegaskan, mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang mempunyai hak untuk turun berkempen dalam kawasan-kawasan pilihan raya.
“Dalam sistem demokrasi berparlimen secara terbuka ini, sesiapa ada hak. Pembangkang ada hak, Pakatan Harapan (PH) pun ada hak untuk berkempen, tiada apa-apa masalah.
“Biarlah rakyat menentukan siapa pilihan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette