CAMERON HIGHLANDS – Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan pemimpin dan jentera Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan taktik kotor termasuk memberi wang kepada pengundi di sini pada saat akhir.
Najib berkata, walaupun berlaku pelanggaran peraturan berkempen yang ditangkap dan tular di media sosial, namun tindakan itu mungkin digunakan sebelum berakhirnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tengah malam esok.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan perjalanan kempen Barisan Nasional (BN), jentera kita memang bekerja kuat dan saya lihat bahawa sambutan di tempat-tempat yang kita turun itu memang menggalakkan.
“Namun kita tak boleh pandang ringan kepada ancaman dan kita mesti bekerja dengan lebih keras lagi untuk masa tempoh 24 jam yang berbaki ini supaya kita dapat menentukan sokongan kita ini tidak terjejas
“Sebab ada cerita-cerita tertentu yang tersebar dan kita tahu bahawa PH telah ditangkap memberi duit dalam video, menggunakan kenderaan kerajaan dan sebagainya.
“Kita jangkakan mungkin ada juga kerja-kerja seperti ini akan dilakukan oleh mereka dalam saat-saat akhir,” katanya ketika ditemui selepas membuat walkabout di pekan Ringlet, di sini, hari ini.
Pada 12 Januari lalu, sebaik sahaja proses penamaan calon PRK Cameron Highlands, jentera PH didapati mengagihkan wang tunai kepada beberapa individu yang memakai t-shirt Harapan dipercayai komuniti orang Asli.
Malah, pelanggaran di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu turut dikesan hingga satu laporan polis dibuat selepas Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji didakwa menggunakan kenderaan milik Jabatan Perhutanan Pahang bagi kempen PRK Cameron Highlands.
Tindakan penyalahgunaan aset kerajaan itu turut disahkan oleh Setiausaha kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak bahawa kenderaan itu dipinjamkan untuk kegunaan rasmi Tengku Zulpuri. – MalaysiaGazette