Home Politik Saya datang atas undangan – Najib

Saya datang atas undangan – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

LIPIS – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang datang membantu berkempen buat pusingan kedua bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, sekali lagi menegaskan bahawa kedatangannya adalah atas undangan masyarakat setempat.

Menyampaikan pesanan kepada pesaing politiknya, Najib, 65, menegaskan masyarakat setempat, terutama di kawasan Sungai Koyan, mengundangnya kerana menghargai jasa kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

“Saya datang sini berkempen atas kehendak masyarakat tempatan dan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sebagai pengarah operasi (jentera pilihan raya BN PRK Cameron Highlands) telah menyatakan orang di sini hendakkan saya datang.

“Jadi salah satu sebab (kedatangan) adalah hubungan saya dengan mereka dan juga sumbangan saya selama ini, kepada kawasan ini. Boleh dikirakan banyak juga yang saya beri dan sebab itulah mereka hendak saya datang untuk (bantu) kempen ini,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan mesra di Pasar Pagi Felda Sungai Koyan 1, di sini hari ini.

Orang ramai yang berada di pasar pagi itu tidak henti-henti merakamkan gambar kenangan bersama Najib.

Sementara itu, ditanya mengenai peluang BN untuk mengekalkan kerusi parlimen itu, Najib merasakan peluang cerah berpihak kepada calon BN berikutan sepanjang tempoh dua minggu kempen, banyak kontroversi dicetuskan Pakatan Harapan (PH) termasuk penggunaan aset kerajaan bagi tujuan kempen ini.

“Kalau ikut pada suasana Alhamdulillah lah nampaknya tetapi kita pun sedar dalam PRK ini apa saja pun boleh berlaku sebab PH menyalahi undang-undang seperti beberapa (kes) yang makin sememangnya sukar untuk dinafikan.

“PRK ini tercemar dengan beberapa kesalahan dan kita hendak amalan demokrasi berjalan secara sihat supaya rakyat boleh pilih siapa yang benar-benar boleh menjadi wakil rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette